BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 16, 2010

Perutusan Teja buat Hang Tuah

"KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah. Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda. Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab menjaga kemakmuran negeri Melaka.

Kekanda,

Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada. Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja. Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari Majapahit kepada Baginda Sultan.

Duhai Kekanda,

Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda. Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali kebijaksanaan Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita yang membenarkan adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi, sebagai srikandi Melaka yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini, adinda yakin segala-galanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam rindu adinda terhadap kekanda.

Kekanda Hang Tuah,

Apakah perkhabarannya dengan Hang Jebat sekarang? Hampir sepurnama adinda tidak bersua dengannya, ketika keramaian perkahwinannya dengan Dang Baru menjadi sua terakhir antara kami. Kanda, sudahkah kalian berdua berdamai setelah Jebat bermati-matian menyanggah hasrat kekanda untuk melarikan adinda dari Pahang dahulu? Berpeganglah kepada resmi air. Dicincang lumat tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak serius atma biarlah kudus. Usah kerana adinda yang seorang ini, kekanda berdua berhunus keris dan mencipta rangkai sengketa bersaudara. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap kemakmuran bumi Melaka.

Kesuma jiwaku,

Usai bersantap bersama paduka Baginda Sultan selepas terbit fajar siddiq tadi, dinda telah menerima selayang perutusan berlagu pilu daripada adinda Tun Zainal. Adinda bongsu dinda yang seorang itu menyampaikan perkhabaran bahawa ayahanda adinda, Bendahara Seri Amar Diraja sudah hampir sepurnama gering. Santap dan minumnya tidak lagi sering. Puas diorak pawang-pawang seluruh negeri dan tabib alim dari negeri Arab sana, namun kegeringan ayahanda tetap tidak mahu kebah. Kanda, Tun Zainal merafak sembah kepada adinda agar pulang untuk mencemar duli untuk menjenguk ayahanda, akan tetapi adinda bimbang sekiranya hasrat adinda ini dipanjangkan kepada Baginda Sultan, adinda akan dimurkai oleh baginda. Bukankah sejak kekanda melarikan adinda dahulu Pahang dan Melaka sudah hampir-hampir saja mencipta perang sengketa, namun oleh kerana kebesaran daulat duli Tuanku serta betapa gagahnya armada pendekar-pendekar di Melaka, maka hasrat ayahanda untuk menyerang Melaka terpaksa dibatalkan, sementelah baginda Sultan Terengganu pula mula memusuhi Pahang kerana dikatakan memungkiri janji kerana membiarkan adinda terlepas ke tangan baginda Sultan Melaka. Seperti yang pernah kekanda nyatakan kepada adinda dahulu, “ Terengganu, Terengganunya, Pahang, Pahangnya. Dengan kebesaran daulat yang dimiliki oleh Baginda Sultan Melaka, maka usahlah kita rakyat marhaen ini berhajat menggaris murka di hati baginda.”

Kanda,

Hati adinda tidak keruan lantaran berbelah bahagi sama ada menjalankan tanggungjawab adinda sebagai seorang anak yang tidak pernah menggarit garis luka, atau menumpahkan taat setia kepada suami tercinta yang hakikatnya tidak pernah sekali pun adinda serahkan cinta ini kepadanya. Cinta kepada ayahanda dan bonda adalah jambatan ke syurga, tetapi andai kepada suami ditumpahkan taat setia, maka kasturi syurgalah juga aroma amalan kita. Apakah yang perlu adinda lakukan kanda? Kolek cinta teroleng-oleng di muara jiwa, sedang di lubuk hati hanya arus kasih kekanda yang masih deras bergelora. Adakah ini yang dikatakan cinta? Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan mulia.

Satria Hatiku,

Ketahuilah, erti perutusan ini sangat mendalam. Perutusan ini adalah nukilan rasa hati adinda yang tidak keruan ketika ini. Terperangkap dan terjerlus di dalam beting perasaan yang terselut antara kekeliruan cinta setia kepada suami dan cinta sejati terhadap arjuna yang bertakhta di hati. Kanda, pada hakikatnya, bukanlah adinda mahu benar menjadi permaisuri. Bertakhta di singgahsana emas, sedangkan bahtera perasaan dinda sendiri semakin lemas. Percayalah kanda, hanya kanda raja di hati, dan selama-lamanya bersultan di sanubari. Akan tetapi, inilah takdir yang tidak dikarang. Berkasih dan bersayang, berkorban apa saja meski kelak nyawa sendiri pipih melayang. Adinda tidak bisa menyesali apa yang sudah terjadi kini. Kerana adinda sendiri yang memilih jalan berliku ini. Kasih di hati buat sang marhaen arjuna, tetapi setia dicurahkan buat baginda yang mendaulati segala-galanya.

Kekandaku Hang Tuah, Satria Bumi Melaka,

Saat ini, adinda terkenangkan pelayaran sandera kita dahulu. Pelayaran yang cukup manis dan meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat adinda. Kolek, pinisi, layar dan lancang Melayu Terengganu membawa kita meredahi lautan duga sambil menggenggam erti seraut cinta. Ya, adinda membuat keputusan untuk merelakan kekanda melarikan adinda kerana adinda yakin pada tulus cinta kita, meski ketika itu adinda sudah pun ditunangkan dengan raja muda Paduka Sultan Terengganu. Ketahuilah kekanda, pada mulanya adinda menyangka bahawa hasrat kekanda mahu melarikan adinda dari negeri Pahang adalah kerana cinta dan hasrat kekanda untuk memperisterikan adinda. Kedaulatan bumi Melaka dan seisinya menarik minat adinda untuk mengikut kekanda walau adinda sendiri tidak pasti apakah bentuk kepayahan yang bakal adinda tempuhi sepanjang pelayaran kita nanti. Namun, apabila kekanda menyatakan bahawa tujuan kekanda melarikan adinda adalah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, adinda mula terfikir kewajaran adinda menuruti kekanda.



Kanda,

Demi cinta adinda terhadap kekanda, adinda turuti segala-galanya. Ketika itu, meski luluh jiwa dan perasaan adinda lantaran terasa dikhianati oleh kepercayaan yang diberikan atas nama cinta, adinda turuti jua kehendak kekanda. Kanda, ketika kanda memberikan sirih jampi kepada adinda dengan niat agar adinda dapat melupakan kanda keesokan hari, ketahuilah bahawa adinda tidak sedikit pun menjamah sirih jampi itu. Adinda tahu, jika adinda memakan sirih jampi itu, seluruh ingatan, rasa cinta dan gelora rindu adinda terhadap kekanda akan lenyap sama sekali. Adinda tidak mahu kehilangan kanda, arjuna yang pertama dan selama-lamanya bertakhta di lubuk sukma adinda.

Kekanda,

Beberapa waktu kebelakangan ini juga, adinda mencurigai tingkah Tun Lading, pengawal turus kanan yang menjaga gerbang utama laut Melaka. Beliau kelihatan sangat akrab dengan pedagang Benggali Putih yang mahu berdagang di Melaka. Bukanlah adinda mencurigai kesetiaan Tun Lading, tetapi adat Melayu santun berbahasa, musuh di selimut haruslah waspada. Adinda gusar melihat keakraban Tun Lading bersama pedagang Benggali Putih yang dikenali sebagai De Squera itu kerana khuatir kalau-kalau semua ini adalah pakatan muslihat mereka untuk mengkucar-kacirkan kemakmuran negeri Melaka. Seperti pesan orang-orang tua: “pukul gendang bermain rebab, jangan sampai mulut menguap, ungkal anak nakal tersilap, baik musuh merangka musabab.” Adinda bimbang kalau-kalau semua ini adalah helah muslihat sang dedalu luar yang mahu menguji kemakmuran dan kedaulatan negeri Melaka.

Aduhai Kesuma Jiwaku,

Saat ini adinda terkenangkan saat pertemuan pertama kita dahulu. Siapa sangka, suatu hari nanti adinda akan bertemu dengan Laksamana Hang Tuah yang sebelum itu hanya adinda penuhi hati ini dengan hanya memuja kebentaraannya. Serasanya agak lucu, apabila teringatkan keletah Dayangku Sita yang telah terlupa untuk bertanyakan nama kekanda, sedangkan pada sebelah petang sebelumnya, Dayangku Sita telah bersetuju untuk mengambil kekanda sebagai anak angkatnya setelah kekanda hanya bermodalkan nasib anak dagang Melaka yang terbuang. Sehinggalah pada sebelah malam keesokan harinya, kita bersua empat mata di pesta Joget Pahang, dan saat itulah hati adinda telah tertawan dengan kesantunan dan kerendahan diri kekanda. Ingat lagikah kanda, pada keesokan malamnya kita berkisah tentang erti cinta dan rindu? Berkisah bahawa setiap cinta itu memerlukan pengorbanan yang jitu? Bahawa setiap rindu itu harus diuji getarnya. Bahawa bahtera kasih itu perlu diuji layar percayanya, dan yang lebih manis semestinya minhaj bahawa cinta itu belum tentu perlu bersatu jasadnya. Ingatkah lagi kekanda?

Satria Hatiku,

Fahamilah bahawa perutusan ini adalah perutusan rindu yang tiada lagi bisa bersatu. Fahamilah bahawa takdir cinta kadangkala tidak tertulis untuk kita. Andai lara rasa yang bakal menyusul, biarlah. Andai seksa rindu yang berkunjung, biarlah. Biarlah andai setia ini goyah setelah diuji resah dan gelisah yang parah. Serahkan segalanya kepada sejarah. Agar di situ tertulis riwayat dan hikayat berdarah yang menjadi saksi pengorbanan cinta Tun Teja buat Hang Tuah.

0 comments: