BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, April 16, 2011

Ligamen Luka di Timur Tengah

KAMAR menunggu di klinik pakar ortopedik pengap sunyi, tetapi tidak terlalu lengang. Skrin televisyen besar di penjuru tinggi ruang berkelip-kelip pada saluran Astro Awani gagal memasung perhatian. Pendingin hawa sesekali berdengung, tetapi kerengsaan dirasai sehingga ke tulang hitam. Saya melempar senaskhah majalah urban berkonsep gaya hidup ke tengah meja setelah lunyai membelek. Duduk yang sudah beberapa lama terenap dalam di atas kusyen kerusi empuk tergesa dibetulkan. Namun aksi itu tuntas mengundang protes daripada reseptor-reseptor sensitif sekitar tempurung lutut.

“Kesakitan perlu dilawan, Sufiyah, bukannya dibelai apatah lagi dimanjakan.”

Abah menegur perlahan dari ambang pintu kamar menunggu apakala saya tunduk menggagau Pangston di dalam tas besar. Namun teguran tidak membekas di cupingan. Dua butir pil penahan sakit gopoh diretas daripada kepingan aluminum, dikunyah lumat lalu ditelan tanpa air. Abah menggeleng-geleng kecil, ulas bibirnya terbuka seakan ingat mengatakan sesuatu, tetapi lekas pula membatalkan.

Abah selesa berdiri meski semua sofa tersedia tidak berpenghuni. Saya tahu dia bukanlah memberi ruang kepada pesakit yang lebih memerlukan, tetapi sebetulnya Abah tidak betah berlama-lama meninggalkan tugas. Kelazimannya pada penghabisan musim Masehi sebegini Abah menghabiskan saki-baki cuti tahunan mengikuti misi-misi kemanusiaan anjuran badan-badan sukarela bukan kerajaan ke pelbagai daerah terpencil. Sewaktu saya adik-beradik masih kecil, Abah sekadar berlegar sekitar pedalaman Borneo atau sesekali ke perkampungan terpinggir masyarakat Islam di Thailand dan Kemboja. Tetapi beberapa tahu lalu, Abah menyertai rombongan ke daerah bergolak Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.


“Saya bukan pesakit Abah, bahkan siapalah saya yang terkoyak ligamen lutut akibat melenjan di padang hoki andai dibandingkan dengan anak-anak Palestin kudung kaki atau tangan ditabrak mortar tentera Israel yang menjadi kesayangan Abah!”

Sepi. Abah mendekati, mendepani. Dia merendahkan tubuh, separa mencangkung sehingga iris kami separas. Saya mengelak, namun Abah cekatan meraih hujung dagu.

“Pia anak Abah,” tutur Abah lembut.

“Anak yang tidak pernah dilayan sebagaimana layak.” Namun keceluparan saya sifar batasan. Abah tunduk, beberapa jenak sebelum bangkit menghuni sofa kosong di sebelah.

“Sebagai anak, dan bergelar mahasiswi jurusan sains politik pula, Abah sangka Pia faham .…”

Saya kepingin membidas, tetapi dengungan laporan terkini dari peti televisyen besar berskrin rata memangkas nawaitu. Perhatian saya beralih, juga konsentrasi Abah.

Kira-kira seminggu lalu, konvoi sukarela Viva Palestina yang terdiri daripada 450 ahli dari seluruh dunia membawa bantuan kemanusiaan dalam bentuk ubat-ubatan, kenderaan kecemasan, bekalan makanan dan peralatan pendidikan itu dihalang belayar dari pelabuhan Aqaba di Jordan ke Nuweiba di Mesir dalam perjalanan mereka ke Rafah di Tebing Barat. Konvoi itu berpatah balik ke Damsyik untuk meneruskan misi melalui laut dari Pelabuhan Lattakia ke el-Arish. Namun, ketibaan mereka disambut keputusan muktamad pegawai-pegawai kerajaan Mesir menghalang sebahagian daripada provisi bantuan berkenaan terus menyeberangi sempadan ke Gaza, melainkan melencong merentasi kawasan kekuasaan Israel. Para sukarelawan yang sudah sepurnama kepenatan memandu merentas benua Eropah dari London ke Timur Tengah lantas menyanggah; bingkas ditangani pasukan antirusuhan dengan lontaran batu, bom-bom air dan tiub-tiub gas pemedih mata.

“Siapa bilang sejarah tidak berulang?” Keluhan Abah memancung fokus. Air mukanya mendadak keruh.

“Maksud Abah, sikap pihak berwajib Mesir yang berat sebelah sejak sebelum penjarahan rasmi Israel pada 1948?”

“Pia tahu?” Abah berpaling, wajahnya bercahaya.

Saya mendengus. “Jikalau Mesir, dan negara-negara Arab lain lebih proaktif memainkan peranan dalam Liga Arab sebelum tahun 1948, Palestin telah merdeka dan negara haram Israel tidak akan wujud di atas lakaran peta dunia. Abah barangkali maklum tentang penubuhan Suruhanjaya Tinggi Arab Untuk Palestin pra An-Nakba?

Abah menaikkan kening, menggalakkan. Saya meneguk liru lalu meneruskan.

“Suruhanjaya, atau pakatan antara negara-negara anggota Liga Arab itu telah dibentuk sebagai langkah menyediakan Palestin ke arah pemerintahan sendiri selepas tamat tempoh penguatkuasaan Mandat British di Timur Tengah. Ia kemudiannya ditukar nama dan fungsi kepada Majlis Kebangsaan Palestin pada 1 Oktober 1948 di Gaza, yang lekas pula diiktiraf sebulat suara oleh Liga Arab. Bahkan, Liga Arab juga pernah mengeluarkan pernyataan rasmi yang menekankan tanggungjawab semua negara anggota agar sedaya upaya menyediakan peluang supaya rakyat Palestin mendapat hak memerintah di tanah air sendiri. ”

“Kecuali Jordan,” Abah mencelah.

Saya mengangguk. “Jordan di bawah pemerintahan Raja Abdullah ketika itu lebih berminat untuk meluaskan wilayah kekuasaan monarki al-Hashemi daripada memerdekakan Palestin yang masih dijarah koloni asing. Tetapi dalam usaha merealisasikan cita-cita agung menyatukan Jordan dan Syria Besar, baginda tegar memungkiri persetiaan Liga Arab pada tahun 1948, juga mengenepikan kesepakatan pada tahun 1944 yang menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap kepentingan Palestin dan hak-hak asasi rakyatnya menjentik kestabilan serta keamanan di seluruh Semenanjung Arab jua.”

“Sungguh pun begitu, Jordan tidaklah berpaling tadah seratus-peratus. Ia bersatu hati dengan negara-negara Arab lain menentang penubuhan wilayah entiti Zionis, atau nama lainnya Israel, sebagai tetangga .…”

Saya menjuih bibir. Seorang jururawat mampir menjenguk, memastikan janji temu yang telah berjam-jam tertangguh belum terpenuh, lalu menghilang dengan jaminan penantian akan segera berpenghujung.

“Betul, tetapi fikirkan Abah, mereka hanya menentang secara lisan tanpa menterjemahkannya secara literal sebagai tindakan. Di mana kesungguhan implementasi janji-janji manis yang diluah sewaktu persidangan-persidangan mewah sebelum ini? Hah, lebih menjengkelkan lagi, Liga Arab tidak pernah mempunyai strategi susulan sekiranya Zionis berjaya menegakkan Israel. Mereka terus-terusan dibuai mimpi tentang kegemilangan silam bangsa sehingga alpa mempertahankan warisan kontemporari. Justifikasi paling jelas tentunya apabila Liga Arab yang diketuai oleh Mesir pada tahun-tahun genting itu gagal mengenakan sebarang tekanan signifikan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah ia mencadangkan agar Palestin dibahagi-bahagi antara penduduk asal berbangsa Arab dan para pendatang Yahudi dari Eropah. Sedangkan Abah, negara-negara anggota Liga Arab mempunyai kelebihan kerana mempunyai sekian banyak konsesi minyak dambaan kuasa-kuasa Barat yang berdiri teguh di belakang gerakan Zionis!”

Jeda. Saya menghela nafas. Dada sedikit sendat setelah berkobar melepaskan hujah. Abah mengorak senyum.

“Pia anak Abah, sudah tentu Pia faham,” tuturnya bangga.

Namun saya tidak mengongsi emosi itu. Seluruh epidermis muka dirasakan terbakar. Pujian Abah adalah penghinaan. “Tergamak Abah memperalatkan isu ini untuk mewajarkan kepincangan pelunasan tanggungjawab terhadap keluarga!”

Pandangan kami langsung bertaut. Bening mata Abah menikam retina saya. Tajam dan maha dalam. Saya lihat kolam deria Abah berkaca-kaca, namun tidak sehingga bergenang. Kudup-kudup rengsa mampir, memadatkan rongga dada dengan keserbasalahan. Ah, tidakkah ini kemahiran semula jadi setiap ibu dan bapa? Saya mengiringkan tubuh, secara literal cuba memutuskan konfrontasi, namun lutut masih enggan bekerjasama. Keperitan menjalar dari hujung kaki, melarat ke ubun-ubun. Saya mencapai tas, tetapi Abah merentap kepingan aluminium berisi dua butir terakhir Pangston dari pegangan.

“Pia, resolusi demi resolusi lisan diutarakan Liga Arab tidak pernah membekas kerana semuanya tidak dibentuk khas untuk menyelesaikan punca, sebaliknya sekadar berperanan melenyapkan simptom, tidak ubah laksana, butir-butir putih Pangston ini. Kesakitan perlu dilawan, Sufiyah, bukan dilayan. Lagi pula, melalui perjuangan menentang kesakitan itulah, ligamen anterior krusiat Pia yang baru, yang menggantikan saraf asal yang terkoyak teruk itu, akan menjelma menjadi tisu yang lebih kuat dan teguh.”

Saya mengeraskan seluruh badan. Seinci tidak berkuit. Kusyen sofa serasa tenggelam dibebani jisim pseudo yang meningkat tiba-tiba. Abah melempar kepingan aluminium ke dalam bakul sampah kecil di bucu kamar menunggu. Dia mendesah nafas.

“Alangkah baiknya andai Mesir mengambil kesempatan keemasan ini untuk menebus kembali kekhilafan yang berakar umbi sejak berdekad-dekad lalu. Abah membayangkan dengan kedudukan geografi Mesir yang memungkinkan hubungan langsung antara dua negara Islam bersaudara, perjalanan konvoi kemanusiaan ini akan lancar dan tenang, namun Mesir lebih senang bermain tarik tali daripada menjadi gentian ganti ligamen anterior krusiat rantau Timur Tengah yang terputus terus.”

Saya menyedari taktik Abah, namun membiarkan bebelan panjang tanpa sebarang sahutan. Argh, Abah mengenali saya luar dan dalam - sebagai anak, juga sebagai siswi Sains Politik yang mengkhusus dalam sejarah konflik berdarah di wilayah bergolak!

“Ligamen anterior krusiat, atau singkatannya ACL, merupakan salah satu daripada empat kumpulan tisu berserat pada lutut. Ia berfungsi mengawal gerakan pada anggota bawah tubuh itu. Sebarang kecederaan pada ligamen ini akan menggugah pengemudian pergerakan. Kata Pia dulu, terasa seperti lutut tertanggal dari sendi, bukan?”

Saya mengangguk tanpa sedar. Abah mengunggis sengihan.

“Tidak semua kecedaraan pada ACL memerlukan pembedahan rekonstruktif untuk mengganti gentian protein itu, terutamanya andai pesakit tidak berhajat untuk berlasak-lasak dalam aktiviti seharian. Tetapi Pia masih berhajat untuk bermain hoki mewakili pasukan varsiti. Oleh itu, tendon hamstring Pia diambil dan disaring sebaiknya agar sesuai digunakan sebagai ganti kepada tisu asal yang tidak lagi mampu menjalankan tugas hakiki itu. Ligamen baru itu kemudiannya disambung ke tulang tibia, atau tulang betis dan tulang femor, atau tulang paha melalui dua laluan atau ‘terowong’ yang telah digerudi terlebih dahulu, supaya selaras dengan kedudukannya di tengah-tengah kepala lutut. Dengan ini, ligamen anterior krusiat yang baru sempurna dicipta.”

“Abah menganalogikan Mesir secara khusus dan negara-negara Arab lain secara umum sebagai ACL yang terkoyak, tetapi menolak pembedahan rekonstruktif untuk memulihkan fungsi, peranan dan reputasinya sendiri pada persada politik dunia,” saya lambat-lambat menganalisis. Suara beransur kendur walau bara-bara redam masih menyala.

Abah mengiyakan. Tangannya mencari jari jemari saya, meraih sebelah lalu menggenggamnya erat.

“Pia, kita tidak boleh mengharapkan sesiapa untuk menjadi ligamen baru dalam memperjuangkan kemerdekaan dan hak negara serta rakyat Palestin. Secara politik, Abah tidak berkepakaran tetapi secara kemanusiaan, Abah mampu menyumbang. Maafkanlah Abah andai dalam terburu-buru membela saudara seagama, Abah alpa terhadap kesejahteraan keluarga kita. Tetapi pinta Abah, jangan didendami mereka kerana kelemahan Abah sebagai individu.”

Jururawat terjengul semena-mena. Ucapan maaf melantun-lantun, semacam gema pada gegendang. Abah membantu saya bangun, separa memapah langkah-langkah payah ke kamar doktor. Kami tidak berbalasan kata, namun saya diserbu kejanggalan yang amat. Keraguan terhadap Abah terpadam lumat.

Betapa lelaki hebat ini belum sepenuhnya saya akrabi!

0 comments: