BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

Saturday, January 30, 2010

CEGAHLAH KEMUNGKARAN !!!

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Peraturan yang baik dan menjurus ke arah kebaikan hendaklah dihormati serta dipatuhi. Begitu juga perlu ada kepatuhan terhadap ketua sama ada arahannya dipersetujui atau tidak, melainkan jika arahan itu menyalahi peraturan dan maksiat kepada Allah.

Menegur dan menasihati ketua yang mengarah melakukan perbuatan mungkar serta menyalahi adalah wajib kerana berbuat mungkar itu suatu kezaliman. Sebaliknya, ketua itu hendaklah diberi nasihat supaya tidak melakukan kemungkaran dan membuat sesuatu menyalahi undang-undang.


ISTIGFAR menenagkan jiwa !!!

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Islam menggalakkan kita memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah SAW sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda adalah rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.

Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadanya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.

Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.