BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 1, 2011

iLmu vs iLmu
















Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.

Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang.

Selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm. Hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

"Hampir seumur hidup saya." Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas.

"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi.

"Ya". Jawab pendayung sampan itu...

"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu." Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya.
Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. "Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Professor itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral of the story

Dalam hidup ini, IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin 100% kejayaan sempurna & IQ yg rendah pula tidak boleh berjaya dalam kehidupan. Adakalanya orang yang kita sangka kurang cerdik itu rupanya lebih berjaya dari kita. Dia mungkin cerdik dalam bidang yang tidak kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi..so pls be humble in everything we do..

Wednesday, November 30, 2011

Ucapan Terakhir Sultan Muhammad Al-Fateh


Tidak lama lagi aku akan menghadap Allah. Namun aku sama sekali tidak merasa menyesal kerana aku meninggalkan pengganti seperti kamu. Kamu mesti menjadi seorang yang Adil, Soleh, dan Pengasih. Bentangkan perlindunganmu kepada seluruh rakyat tanpa membeza-bezakan mereka. Tugas kamu dalam menyebarkan agama Islam ini adalah kewajiban raja-raja bumi ini.


Dahulukan kepentingan agama lebih daripada kepentingan yang lain. Jangan kamu lemah dan lengah dalam menegakkan agama. Jangan kamu sekali-kali mengambil orang yang tidak peduli kepada agama sebagai pembantumu dan jangan pula kamu mengangkat orang yang tidak menjauhi dosa-dosa besar dan leka dalam kekejian.


Hindari perkara-perkara yang merosakkan. Jauhi orang yang menyuruhmu melakukan kejahatan. Lakukan perluasan negara ini melalui jihad. Jaga harta Baitul Mal, jangan sampai dibazirkan. Jangan kamu sekali-kali menghulurkan tanganmu pada harta rakyatmu, kecuali sesuai dengan syariat Islam. Himpun kekuatan orang yang lemah dan fakir dan berikan penghormatanmu kepada orang yang berhaq.


Ulama adalah kekuatan yang harus ada dalam negara ini, maka hormati mereka. Sekiranya kamu mendengar ada seorang ulama di negara lain, ajak dia datang ke negara ini dan beri dia harta kekayaan. Hati-hati jangan sampai kamu tertipu dengan harta bendamu dan dengan banyaknya jumlah tenteramu.


Jangan sekali-kali kamu mengusir ulama dari pintu-pintu istanamu. Jangan sekali-kali kamu lakukan satu hal yang bertentangan dengan hukum Islam. Agama adalah tujuan kita dan dengan agama ini, kita menang.


Ambillah pengajaran ini daripadaku. Aku datang ke negara ini laksana semut kecil, lalu Allah kurniakan kepadaku nikmat yang sedemikian besar ini. Maka berjalanlah seperti apa yang aku lakukan. Bekerjalah kamu dalam meninggikan agama Allah dan hormatilah ahli-ahlinya.


Janganlah kamu menghambur-hamburkan harta negara dengan berfoya-foya dan bersenang-senang, ataupun kamu pergunakan lebih daripada sewajarnya. Ini kerana semua itu adalah penyebab utama kehancuran."