BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 30, 2010

Jujur insafi kematian, reda hadapi kehilangan

Tangisi pemergian insan tersayang secara keterlaluan perlakuan orang jahiliah, haram.

HAMPIR sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi.


Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”


Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. Antara ucapan yang sering diucapkan ialah “mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Nabi SAW: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk a sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.

Fadilat baca 10 ayat surah al-Baqarah

DIRIWAYATKAN daripada Ibn Mas’ud r.a, katanya: “Sesiapa membaca 10 ayat daripada surah al-Baqarah ketika awal waktu siang, syaitan tidak akan menghampirinya hingga ke petang.

Jika ia membacanya pada waktu petang, syaitan tidak mendekatinya hingga ke pagi. Ia juga tidak akan melihat sesuatu yang ia benci pada keluarga dan harta bendanya,” (Riwayat al-Darimi, al-Bhaihaqi di dalam kisah Syu’ab al-Iman).

Ibn Mas’ud r a, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca 10 ayat: Empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kurysi, dua ayat selepasnya dan ayat penutup surah al-Baqarah, nescaya syaitan tidak akan memasuki rumah itu hingga pagi,” (Riwayat al-Tabrani dalam al-Kabir dan riwayat al-Hakim, kata hadis dinilai Sahih).

CEGAHLAH KEMUNGKARAN !!!

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Peraturan yang baik dan menjurus ke arah kebaikan hendaklah dihormati serta dipatuhi. Begitu juga perlu ada kepatuhan terhadap ketua sama ada arahannya dipersetujui atau tidak, melainkan jika arahan itu menyalahi peraturan dan maksiat kepada Allah.

Menegur dan menasihati ketua yang mengarah melakukan perbuatan mungkar serta menyalahi adalah wajib kerana berbuat mungkar itu suatu kezaliman. Sebaliknya, ketua itu hendaklah diberi nasihat supaya tidak melakukan kemungkaran dan membuat sesuatu menyalahi undang-undang.


ISTIGFAR menenagkan jiwa !!!

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Islam menggalakkan kita memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah SAW sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda adalah rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.

Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadanya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.

Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.

Saturday, January 16, 2010

3 cahaya dan kala jengking besar.....

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat

Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :
* Cahaya yang pertama seperti bintang-​bintang.​
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :
"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang
ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan
mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air
sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari.
Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam mas jid sebelum azan lagi."

Kala Jengking Neraka
Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang
bernama "Huraisy" berasal dari anak kala jengking.

Besarnya Huraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti
jarak langit dan bumi.
Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa
yang kau cari?"

Huraisy pun menjawab, "Aku mahu mencari lima orang.
Pertama, orang yang meninggalkan sembahyang.
Kedua, orang yang tidak mahu keluarkan zakat.
Ketiga, orang yang derhaka kepada ibubapanya.
Keempat, orang yang bercakap tentang dunia di dalam mas jid.
Kelima, orang yang suka minum arak."

Simpanlah baik2 amanat ini dan sebagai peringatan kita setiap hari.
Sampaikan kepada sekelian muslimin/​muslimat yang lain semoga
menjadi pedoman hidup hingga keakhir hayat , Insya'Allah

Alangkah berbahagianya anda semua yang mempunyai anak lelaki dan dididik
pula melaungkan azan di masjid-masjid mahupun di surau-surau

Semoga Allah merahmati kita semua dan mengampuni segala dosa2 kita yang
lalu dan hari ini. Azan adalah dakwah yang paling utama sekali kerana
ianya mengajak kita membuat kebaikan dan mengingati Allah swt. Secara
tidak sedar kita sentiasa didakwah sebanyak 5 kali sehari.

Cubalah hayati setiap perkataan dan jawaplah seperti yang disarankan. Bagi orang yang
melaungkan azan pula jika dia berniat untuk seluruh alam (spt yang
disarankan olih Allah kepada Nabi Ibrahim alaihisallam) muazin itu akan
mendapat pahala umat islam seluruh alam yang bersolat pada hari itu.
begitulah kelebihannya yang Allah beri.

ADAB MENDENGAR AZAN

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita
ketahui.Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal
tidak dapat berkata apa-apa... lidahnya kelu, keras dan hanya mimik
mukanya yang menahan kesakitan ' sakaratul maut' .

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika
tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.​ "

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan
berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang . Sebagai orang beragama
Islam kita wajib menghormati azan Banyak fadhilatnya .

Jika kita boleh menghormati lagu kebangsaan ketika lagu itu sedang ke udaradengan agar berdiri tegak dan diamkan diri.

Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang
berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak.

Tidahkah kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita
tidak dapat mengucap kalimah "​Lailahaillallah​.​ ." yang mana sesiapa yang
dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn
izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Oleh itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah kurniaan-Nya ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik
lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "​Lailahaillallah​.​ .."
semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin.. amin.. amin
Yarobbala'​lamin.​ ."

Kita boleh mengirimkan ribuan 'jokes' dan ' surat berantai' melalui
e-mail tetapi bila mengirimkan yang berkaitan dengan ibadah seringkali
berfikir 2 atau 3 kali.​.​.

​FIKIRKAN LAH, Sesungguhnya tidaklah Islam itu hadir di dalam hidup kamu, melainkan untuk membawa dirimu kearah kebaikan. Islam diturunkan oleh Allah S.W.T. ke muka bumi melalui baginda Nabi Muhammad S.A.W untuk dijadikan penduan hidup manusia.

Manusia memerlukan Islam untuk hidup dalam kenebenaran di muka bumi dan Islam memerlukan manusia untuk ingat-mengingati dan berpesan-pesan ( berdakwah )

Dukun Pak Kaduk ....

"EH, bukankah itu Pak Kaduk," kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.

"Yelah, bang. Pak Kaduk."

"Apa yang dia buat tu?"

Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.

"Aku juga mahu jadi jutawan, bu," Isterinya tidak berkata apa-apa.

Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.

"Di sini," Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. "Pak Kaduk dianggap pendatang haram."

"Apa itu, Bung?"

"Pendatang tanpa izin."

"Oooo . Aku ke mari mahu cari kerja, Bang. Mahu kerja," bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.

"Ah, itu gampang saja!" Bung Karim membetulkan sila. "Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja," nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.

"Kerjanya apa, Bung?"

"Apa-apa saja, asal lumayan."

Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.

"Masakan!" Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.

"Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,"

"Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar," jelas rasa kecewa di mukanya.

"Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan."

Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.

"Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri," sambil mengangkat tiga batang jarinya. "Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak."

Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bakawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama-sama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.

Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.

"Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini," demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. "Kalah sebelum berjuang," sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.

"Kesian wanita ini," sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. "Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?" Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.

"Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain," jarinya menunjuk ke langit. "Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?" Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.

"Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?" Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.

Perutusan Teja buat Hang Tuah

"KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah. Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda. Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab menjaga kemakmuran negeri Melaka.

Kekanda,

Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada. Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja. Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari Majapahit kepada Baginda Sultan.

Duhai Kekanda,

Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda. Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali kebijaksanaan Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita yang membenarkan adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi, sebagai srikandi Melaka yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini, adinda yakin segala-galanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam rindu adinda terhadap kekanda.

Kekanda Hang Tuah,

Apakah perkhabarannya dengan Hang Jebat sekarang? Hampir sepurnama adinda tidak bersua dengannya, ketika keramaian perkahwinannya dengan Dang Baru menjadi sua terakhir antara kami. Kanda, sudahkah kalian berdua berdamai setelah Jebat bermati-matian menyanggah hasrat kekanda untuk melarikan adinda dari Pahang dahulu? Berpeganglah kepada resmi air. Dicincang lumat tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak serius atma biarlah kudus. Usah kerana adinda yang seorang ini, kekanda berdua berhunus keris dan mencipta rangkai sengketa bersaudara. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap kemakmuran bumi Melaka.

Kesuma jiwaku,

Usai bersantap bersama paduka Baginda Sultan selepas terbit fajar siddiq tadi, dinda telah menerima selayang perutusan berlagu pilu daripada adinda Tun Zainal. Adinda bongsu dinda yang seorang itu menyampaikan perkhabaran bahawa ayahanda adinda, Bendahara Seri Amar Diraja sudah hampir sepurnama gering. Santap dan minumnya tidak lagi sering. Puas diorak pawang-pawang seluruh negeri dan tabib alim dari negeri Arab sana, namun kegeringan ayahanda tetap tidak mahu kebah. Kanda, Tun Zainal merafak sembah kepada adinda agar pulang untuk mencemar duli untuk menjenguk ayahanda, akan tetapi adinda bimbang sekiranya hasrat adinda ini dipanjangkan kepada Baginda Sultan, adinda akan dimurkai oleh baginda. Bukankah sejak kekanda melarikan adinda dahulu Pahang dan Melaka sudah hampir-hampir saja mencipta perang sengketa, namun oleh kerana kebesaran daulat duli Tuanku serta betapa gagahnya armada pendekar-pendekar di Melaka, maka hasrat ayahanda untuk menyerang Melaka terpaksa dibatalkan, sementelah baginda Sultan Terengganu pula mula memusuhi Pahang kerana dikatakan memungkiri janji kerana membiarkan adinda terlepas ke tangan baginda Sultan Melaka. Seperti yang pernah kekanda nyatakan kepada adinda dahulu, “ Terengganu, Terengganunya, Pahang, Pahangnya. Dengan kebesaran daulat yang dimiliki oleh Baginda Sultan Melaka, maka usahlah kita rakyat marhaen ini berhajat menggaris murka di hati baginda.”

Kanda,

Hati adinda tidak keruan lantaran berbelah bahagi sama ada menjalankan tanggungjawab adinda sebagai seorang anak yang tidak pernah menggarit garis luka, atau menumpahkan taat setia kepada suami tercinta yang hakikatnya tidak pernah sekali pun adinda serahkan cinta ini kepadanya. Cinta kepada ayahanda dan bonda adalah jambatan ke syurga, tetapi andai kepada suami ditumpahkan taat setia, maka kasturi syurgalah juga aroma amalan kita. Apakah yang perlu adinda lakukan kanda? Kolek cinta teroleng-oleng di muara jiwa, sedang di lubuk hati hanya arus kasih kekanda yang masih deras bergelora. Adakah ini yang dikatakan cinta? Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan mulia.

Satria Hatiku,

Ketahuilah, erti perutusan ini sangat mendalam. Perutusan ini adalah nukilan rasa hati adinda yang tidak keruan ketika ini. Terperangkap dan terjerlus di dalam beting perasaan yang terselut antara kekeliruan cinta setia kepada suami dan cinta sejati terhadap arjuna yang bertakhta di hati. Kanda, pada hakikatnya, bukanlah adinda mahu benar menjadi permaisuri. Bertakhta di singgahsana emas, sedangkan bahtera perasaan dinda sendiri semakin lemas. Percayalah kanda, hanya kanda raja di hati, dan selama-lamanya bersultan di sanubari. Akan tetapi, inilah takdir yang tidak dikarang. Berkasih dan bersayang, berkorban apa saja meski kelak nyawa sendiri pipih melayang. Adinda tidak bisa menyesali apa yang sudah terjadi kini. Kerana adinda sendiri yang memilih jalan berliku ini. Kasih di hati buat sang marhaen arjuna, tetapi setia dicurahkan buat baginda yang mendaulati segala-galanya.

Kekandaku Hang Tuah, Satria Bumi Melaka,

Saat ini, adinda terkenangkan pelayaran sandera kita dahulu. Pelayaran yang cukup manis dan meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat adinda. Kolek, pinisi, layar dan lancang Melayu Terengganu membawa kita meredahi lautan duga sambil menggenggam erti seraut cinta. Ya, adinda membuat keputusan untuk merelakan kekanda melarikan adinda kerana adinda yakin pada tulus cinta kita, meski ketika itu adinda sudah pun ditunangkan dengan raja muda Paduka Sultan Terengganu. Ketahuilah kekanda, pada mulanya adinda menyangka bahawa hasrat kekanda mahu melarikan adinda dari negeri Pahang adalah kerana cinta dan hasrat kekanda untuk memperisterikan adinda. Kedaulatan bumi Melaka dan seisinya menarik minat adinda untuk mengikut kekanda walau adinda sendiri tidak pasti apakah bentuk kepayahan yang bakal adinda tempuhi sepanjang pelayaran kita nanti. Namun, apabila kekanda menyatakan bahawa tujuan kekanda melarikan adinda adalah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, adinda mula terfikir kewajaran adinda menuruti kekanda.



Kanda,

Demi cinta adinda terhadap kekanda, adinda turuti segala-galanya. Ketika itu, meski luluh jiwa dan perasaan adinda lantaran terasa dikhianati oleh kepercayaan yang diberikan atas nama cinta, adinda turuti jua kehendak kekanda. Kanda, ketika kanda memberikan sirih jampi kepada adinda dengan niat agar adinda dapat melupakan kanda keesokan hari, ketahuilah bahawa adinda tidak sedikit pun menjamah sirih jampi itu. Adinda tahu, jika adinda memakan sirih jampi itu, seluruh ingatan, rasa cinta dan gelora rindu adinda terhadap kekanda akan lenyap sama sekali. Adinda tidak mahu kehilangan kanda, arjuna yang pertama dan selama-lamanya bertakhta di lubuk sukma adinda.

Kekanda,

Beberapa waktu kebelakangan ini juga, adinda mencurigai tingkah Tun Lading, pengawal turus kanan yang menjaga gerbang utama laut Melaka. Beliau kelihatan sangat akrab dengan pedagang Benggali Putih yang mahu berdagang di Melaka. Bukanlah adinda mencurigai kesetiaan Tun Lading, tetapi adat Melayu santun berbahasa, musuh di selimut haruslah waspada. Adinda gusar melihat keakraban Tun Lading bersama pedagang Benggali Putih yang dikenali sebagai De Squera itu kerana khuatir kalau-kalau semua ini adalah pakatan muslihat mereka untuk mengkucar-kacirkan kemakmuran negeri Melaka. Seperti pesan orang-orang tua: “pukul gendang bermain rebab, jangan sampai mulut menguap, ungkal anak nakal tersilap, baik musuh merangka musabab.” Adinda bimbang kalau-kalau semua ini adalah helah muslihat sang dedalu luar yang mahu menguji kemakmuran dan kedaulatan negeri Melaka.

Aduhai Kesuma Jiwaku,

Saat ini adinda terkenangkan saat pertemuan pertama kita dahulu. Siapa sangka, suatu hari nanti adinda akan bertemu dengan Laksamana Hang Tuah yang sebelum itu hanya adinda penuhi hati ini dengan hanya memuja kebentaraannya. Serasanya agak lucu, apabila teringatkan keletah Dayangku Sita yang telah terlupa untuk bertanyakan nama kekanda, sedangkan pada sebelah petang sebelumnya, Dayangku Sita telah bersetuju untuk mengambil kekanda sebagai anak angkatnya setelah kekanda hanya bermodalkan nasib anak dagang Melaka yang terbuang. Sehinggalah pada sebelah malam keesokan harinya, kita bersua empat mata di pesta Joget Pahang, dan saat itulah hati adinda telah tertawan dengan kesantunan dan kerendahan diri kekanda. Ingat lagikah kanda, pada keesokan malamnya kita berkisah tentang erti cinta dan rindu? Berkisah bahawa setiap cinta itu memerlukan pengorbanan yang jitu? Bahawa setiap rindu itu harus diuji getarnya. Bahawa bahtera kasih itu perlu diuji layar percayanya, dan yang lebih manis semestinya minhaj bahawa cinta itu belum tentu perlu bersatu jasadnya. Ingatkah lagi kekanda?

Satria Hatiku,

Fahamilah bahawa perutusan ini adalah perutusan rindu yang tiada lagi bisa bersatu. Fahamilah bahawa takdir cinta kadangkala tidak tertulis untuk kita. Andai lara rasa yang bakal menyusul, biarlah. Andai seksa rindu yang berkunjung, biarlah. Biarlah andai setia ini goyah setelah diuji resah dan gelisah yang parah. Serahkan segalanya kepada sejarah. Agar di situ tertulis riwayat dan hikayat berdarah yang menjadi saksi pengorbanan cinta Tun Teja buat Hang Tuah.

Sunday, January 10, 2010

Ayat Qursi, solat elak gangguan syaitan

KITA selalu lupa, di laut adalah kawasan paling banyak dugaan bukan saja sentiasa berdepan ribut dan gelombang besar kadang-kadang gangguan makhluk halus yang sudah berumah tangga di laut. Kita haus menerima hakikat ini sama ada mahu atau pun tidak, kerana laut selalunya menjadi buangan hantu syaitan kerana itu kawasan laut paling ditakuti untuk melanggar pantang dari keluarga pelaut kerana kesan daripada kisah yang diganggu makhluk halus di laut terlalu banyak berlaku.

KITA selalu lupa, di laut adalah kawasan paling banyak dugaan bukan saja sentiasa berdepan ribut dan gelombang besar kadang-kadang gangguan makhluk halus yang sudah berumah tangga di laut. Kita haus menerima hakikat ini sama ada mahu atau pun tidak, kerana laut selalunya menjadi buangan hantu syaitan kerana itu kawasan laut paling ditakuti untuk melanggar pantang dari keluarga pelaut kerana kesan daripada kisah yang diganggu makhluk halus di laut terlalu banyak berlaku.

Beberapa kisah yang dapat dikesan daripada kejadian pulau hilang dari pandangan, ikan kecil menarik bot, hilang pandangan tapi nyenyak tidur dalam bot, jumlah pemancing bertambah semasa memancing, malah terlalu banyak perkara-perkara aneh sering berlaku semasa memancing di laut.

Namun daripada beberapa kejadian, petua Pak Nuri kali ini ingin mengajak anda kaki pancing yang sering diganggu ketakutan dan kadang-kadang hingga semalaman tidak dapat tidur dengan selesa.


Syaitan akan menjelma dengan pelbagai rupa. Kita mesti menguatkan semangat dan jangan sekali-kali mengalah kerana kita tahu bahawa iblis itu memang kerjanya untuk menyesatkan manusia, justeru antara langkah-langkah terbaik diambil ialah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, Malah paling baik membaca ayat Qursi beberapa kali dan tidurlah dengan menyerah diri kepada Allah sambil meminta perlindungan dari-Nya.

Jika apa yang sudah kita lakukan masih kurang berkesan tentunya gejala ini bukan dari gangguan hantu syaitan dan anda perlu mengubah cara lain dengan anda cuba mandi pada waktu malam (jangan di amalkan mandi tengah malam jika tidak ada sebab) dan solat sunat dua rakaat dengan memohon kepada Allah agar anda tidak di ganggu hantu syaitan sepanjang malam.

Jika ini juga tidak berjaya anda teruskan aktiviti memancing dan tidur pada waktu siang pada ketika anda benar-benar letih. Tentunya pada waktu begini anda mesti tertidur.




Tahan nafas, jangan bergerak apabila ular hendak mematuk



Ruangan petua kali ini membicarakan tentang ular kerana bisanya boleh membawa maut kepada mangsa. Bagi warga emas Mat Ali Siku dari Kampung Kuala Pah, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan kepakarannya menawar bisa ular tiada tandingan dan tidak hairanlah dia diberi jolokan Pak Ali Ular.

Mengakui memperoleh ilmu ular menerusi mimpi, warga emas berusia 73 tahun ini sering dipanggil jika rumah jiran-jirannya dikunjungi tetamu tidak diundang itu. Menurutnya, jangan sesekali bermain dengan ular kerana ia boleh mendatangkan musibah jika berlagak berani.


Kemampuannya menangkap pelbagai spesis ular berbisa seperti Tedung Selar, Ular Kapak, Ular Sawa dan banyak lagi menjadi bualan penduduk kampung. Pesannya kepada mereka yang terserempak denagn ular pada yang waktu malam berbisa seperti tedung selar atau ular kapak, jangan menggerakkan badan dan jika boleh tahan bernafas.

Ular berbisa seperti tedung selar boleh mengesan mangsanya dengan deria haba yang dihembus. Biasanya ular yang sedia hendak mematuk akan berdiri, jadi jangan sesekali mengacahnya.

Biar ular itu turun ke tanah sendiri dan biarkan ia pergi. Pesannya, bila meredah hutan pada waktu malam pakai kasut getah yang tinggi, ini kerana ia mampu melindungi peha kita dari dipatuk ular berbisa. Jika seseorang dipatuk ular, ikat dengan kuat menggunakan kain atau tali bahagian patukan itu.

Cara ini, dapat melambatkan bisa ular meresap ke saluran darah. Sedut dengan sekuat hati pada tempat anggota badan anda yang dipatuk ular tadi dan meludahnya supaya bisa berkenaan dapat dikeluarkan. Kemudian, perlu rujuk ke klinik atau pusat perubatan berdekatan.

Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati




SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan.

Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud: "Daripada Umar ra, katanya: "Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi.

Kemudian ia berkata: "Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam," maka Rasulullah menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya".

Dia berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.