BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, November 30, 2011

Ucapan Terakhir Sultan Muhammad Al-Fateh


Tidak lama lagi aku akan menghadap Allah. Namun aku sama sekali tidak merasa menyesal kerana aku meninggalkan pengganti seperti kamu. Kamu mesti menjadi seorang yang Adil, Soleh, dan Pengasih. Bentangkan perlindunganmu kepada seluruh rakyat tanpa membeza-bezakan mereka. Tugas kamu dalam menyebarkan agama Islam ini adalah kewajiban raja-raja bumi ini.


Dahulukan kepentingan agama lebih daripada kepentingan yang lain. Jangan kamu lemah dan lengah dalam menegakkan agama. Jangan kamu sekali-kali mengambil orang yang tidak peduli kepada agama sebagai pembantumu dan jangan pula kamu mengangkat orang yang tidak menjauhi dosa-dosa besar dan leka dalam kekejian.


Hindari perkara-perkara yang merosakkan. Jauhi orang yang menyuruhmu melakukan kejahatan. Lakukan perluasan negara ini melalui jihad. Jaga harta Baitul Mal, jangan sampai dibazirkan. Jangan kamu sekali-kali menghulurkan tanganmu pada harta rakyatmu, kecuali sesuai dengan syariat Islam. Himpun kekuatan orang yang lemah dan fakir dan berikan penghormatanmu kepada orang yang berhaq.


Ulama adalah kekuatan yang harus ada dalam negara ini, maka hormati mereka. Sekiranya kamu mendengar ada seorang ulama di negara lain, ajak dia datang ke negara ini dan beri dia harta kekayaan. Hati-hati jangan sampai kamu tertipu dengan harta bendamu dan dengan banyaknya jumlah tenteramu.


Jangan sekali-kali kamu mengusir ulama dari pintu-pintu istanamu. Jangan sekali-kali kamu lakukan satu hal yang bertentangan dengan hukum Islam. Agama adalah tujuan kita dan dengan agama ini, kita menang.


Ambillah pengajaran ini daripadaku. Aku datang ke negara ini laksana semut kecil, lalu Allah kurniakan kepadaku nikmat yang sedemikian besar ini. Maka berjalanlah seperti apa yang aku lakukan. Bekerjalah kamu dalam meninggikan agama Allah dan hormatilah ahli-ahlinya.


Janganlah kamu menghambur-hamburkan harta negara dengan berfoya-foya dan bersenang-senang, ataupun kamu pergunakan lebih daripada sewajarnya. Ini kerana semua itu adalah penyebab utama kehancuran."

0 comments: